Tuesday 17 February 2015

Kehidupan Dunia yang Sementara

Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

(Al-Hadiid 57:20)

Assalamualaikum..
Segar di pagi hari sambil mencari rezeki dan disinari cahaya matahari.Semoga diberkati pada pagi ini.Dunia ini penuh pancaroba jika diperhatikan secara teliti.Zaman ini dilihat juga kebathilan bersuara dan kebenaran membisu.Allahuakhbar.Selain itu pelbagai budaya hidup luar daripada ajaran agama mula tumbuh seperti cendawan tumbuh selepas hujan.Seperti keadaan yang dihadapi oleh saya lebih-lebih lagi sebagai seorang pelajar.Lebih mencabar daripada apa yang saya sangkakan.Kadang-kadang ada sesuatu perkara dilakukan seperti dianggap 'outdated'.Saya ambil sebagai contoh dari segi pemakaian.Lebih cenderung kepada pemakaian yang lebih menampakkan bentuk susuk tubuh badan,baik lelaki atau perempuan.Kalau dilihat kembali apa salahnya dilabuhkan sedikit pakaian itu dan tidak mengapa.Lebih baik menutup aurat.Saya dahulu diikutkan banyak juga pakaian yang menampakkan susuk tubuh dan apa yang saya lakukan selepas itu saya cuba mengambil saiz pakaian yang lebih sedikit daripada saiz badan saya misalnya dari saiz M ke saiz L.Mungkin selepas itu orang mungkin berkata saya 'outdated' atau tidak menepati 'trend' pada masa kini.Cukuplah sekadar menutup aurat dan menepati kehendak syarak.

Perkara lain dapat dilihat melalui generasi saya ialah lebih mahukan kebebasan dan lebih cenderung dalam keseronokan yang melalaikan.Saya juga sedar dahulu diri saya juga pernah terjebak dengan keseronokan yang tidak ada temu noktahnya lebih-lebih lagi pada usia muda.Bila difikirkan usia semakin hari semakin meningkat dan paling dahsyat ialah menuju ke arah kematian.Mati tidak kira usia.Bila dilihat kembali jika kita lahir sahaja kita diazankan di telinga kanan dan diiqamatkan di telinga kiri.Kemudian disembahyangkan apabila kita menjadi jenazah.Ya Allah pendeknya hidup ini ibarat antara masuknya waktu solat dan masa kita menunaikannya.

Selain itu apa yang saya lihat dari segi ilmu.Generasi kini lebih mengutamakan ilmu dunia yang bersifat sementara berbanding ilmu akhirat sebagai alasan untuk kesenangan masa depan kelak.Sebenarnya keagungan ilmu akhirat ini tiada tolok bandingnya jika hendak dibezakan ilmu dunia yang bersifat sementara.Kalau dapat dilihat cendekiawan Islam pada zaman dahulu mereka juga menuntut ilmu dunia tapi pada masa yang sama mereka tidak lupa juga untuk menuntut ilmu akhirat.Sebab itu mereka lebih maju jika hendak dibandingkan kita pada hari ini.Masa muda dan bertenaga waktu inilah sebaiknya mempelajari ilmu akhirat.Bukan susah sebenarnya dengan menghadirkan diri ke kuliah atau majlis ilmu di masjid atau surau.Peringatan ini juga untuk diri saya sendiri yang lemah dan mudah lupa.Tidak salah untuk menuntut ilmu dunia tapi pada masa yang sama luangkan juga masa untuk ilmu akhirat yang digunakan semasa hidup dan kehidupan seterusnya.Agar hidup lebih diberkati Allah..in shaa Allah.

Apa yang saya dapat simpulkan adalah kehidupan ini bukan termaktub untuk dunia semata-mata kerana akhirat kekal selama-lamanya.Jangan mudah terpedaya dengan kehidupan dunia yang nampak pada zahirnya mewah dan menjanjikan kesenangan yang sementara sedangkan ia memakan diri kita sendiri.Peringatan ini untuk dikongsikan bersama dan bukan ditujukan kepada pihak-pihak tertentu.Kerana adalah menjadi tanggungjawab sesama muslim untuk mengingati satu sama lain.Sama-sama kita muhasabah diri.

Wassalam.


Thursday 29 January 2015

Berubah demi mencari ketenangan hati

Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya. 

(Ar-Ra'd 13: 11)

Assalamualaikum..
Hari ini merupakan entri pertama bagi blog ini.Tergerak hati untuk bercerita dan sedikit sebanyak boleh berkongsi ilmu bersama.Baiklah,dalam hidup ini siapa tidak mahu berubah untuk menjadi lebih baik.Sedangkan ibarat kereta yang baru dibeli pasti penambahbaikan dan spesifikasi kereta itu sendiri diubah untuk memberikan hasil yang lebih mantap.Begitu juga diri hanya sebagai manusia di muka bumi ciptaan-Nya.Pada mulanya diri saya sendiri ini bukanlah berasal daripada keluarga yang kuat pemahaman dari sudut agama.Alhamdulillah tapi masih diberi peluang untuk memahami asas agama dan mampu mengaplikasikannya.Akan tetapi hati ini mula merasakan bahawa sudah masanya untuk mengubah kepada yang lebih baik.Umur semakin hari semakin meningkat dan tanggungjawab semakin banyak.Tanggungjawab terhadap diri sendiri,ibu bapa,keluarga dan yang paling penting sekali tanggungjawab terhadap Allah.Selain itu,dosa dan pahala jika ditimbang tara rasanya boleh agak.Tepuk dada tanyalah iman bagaimana.Niat untuk berubah ini seakan gagal pada mulanya.Berulang kali mencuba dan saya hampir berputus asa.Sehinggakan saya merasakan saya hendak menangis kerana saya sendiri gagal megubah diri ke arah yang lebih baik.Tapi itu semua terletak pada kekuasaan Allah tuhan sekalian alam.Mungkin disebabkan terlalu banyak dosa yang dibuat sehingga mungkin ibadah yang dibuat tidak diterima oleh Allah..Nauzubillah.Minta dijauhkan.Saya hidup sebagai seorang mahasiswa di universiti.Sedikit demi sedikit berbekalkan ilmu yang ada baharu saya faham dan dapat lihat dengan jelas perangai manusia.Saya rasa saya antara yang jahil pada ketika itu.Saya mula berfikir jika saya teruskan kehidupan sebegini apakah akan jadi seterusnya.Dari itu,saya perlahan-lahan membuka langkah dan saya merasakan saya perlu berubah kearah yang lebih baik lagi.Bukan senang dan penuh dengan cabaran.Kadang-kadang merasakan diri ini seperti munafik pun ada.Kenapa?Proses berubah ini bukan senang.Di mata orang lain pasti akan melakukan pelbagai tohmahan terhadap saya.Bukan sahaja mengata,perli,keluarkan ayat-ayat berbentuk 'islamic' dan pelbagai lagi.Ada kalanya saya agak terasa dengan apa yang dihadapi.Ada masa kadang-kadang terbawa-bawa sampai ke tidur.Tetapi saya mengenangkan kembali peristiwa Rasulullah ketika hendak menyebarkan agama Islam.Baginda lebih susah dari apa yang kita sangkakan.Baginda dicerca,dicaci,dimaki,diejek dan bermacam-macam sehingga diancam bunuh.Akan tetapi dengan kuasa Allah segalanya berubah.Tak cukup dengan itu saya bercerita kepada sahabat saya.Sahabat saya berkata "kau berubah kerana mereka ke kerana Allah?".Saya diam sejenak.Terus sahabat saya berkata "Jangan sampai niat kau berubah".Aku tersedar dari 'mimpi'.Haish...usah dipertikai apa yang hendak dilakukan oleh orang diluar sana.Hal ini antara saya dan Allah.Apa yang mampu saya buat adalah teruskan berdoa kepada-Nya moga ditetapkan iman dan memperoleh keberkatan di dunia dan di akhirat.

Wassalam.